maktabahsz.blogspot.com EMAIL KAMI: maktabah09@yahoo.com

Ahad, 2 Januari 2011

RENUNGLAH DENGAN MATA HATI

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan Rasullulah sebelum diangkat menjadi nabi, ia adalah manusia yang sama sahaja dengan orang biasa yang lain, seperti mana Mohamad-Mohamad atau Mat-mat di kampung-kampung. Demikian maksud yang difahami daripada ucapan Nik Abdul Aziz yang dirujuk daripada youtube, Nik Aziz hina nabi.

Beliau berpendapat Nabi Muhammad sebelum berumur 40 tahun dan sebelum diangkat menjadi nabi, baginda tiada apa bezanya dengan orang lain seperti makan, minum, dilahirkan, berkahwin dan sebagainya. Kemuliaan baginda hanya setelah diangkat menjadi nabi. Menurutnya, walau pun sudah bertahun-tahun kita menyambut maulidur rasul tetapi masalah kita (masalah umat Islam) tidak juga selesai.

Demikianlah secara ringkas maksud ucapan YAB Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan. Saya (penulis) juga merujuk beberapa ucapan beliau di dalam kesempatan-kesempatan yang lain.

Berkaitan dengan ucapan Nik Aziz tersebut, saya telah dihubungi oleh beberapa kenalan. Mereka telah merujukkan ke alamat youtube (diatas) supaya saya (penulis) mendengar sendiri ucapan tersebut. Pada mulanya saya tidak memperdulikan isu berkenaan kerana memikirkan ia akan reda dengan sendirinya. Bagaimana pun pada suatu masa yang tidak lama selepas itu kebetulan saya sendiri mendengar ‘sudut-sudut politik kedai mamak’ yang menarik minat saya untuk memasang telinga darihal sembang-sembang beberapa orang yang tidak saya kenali. Seorang lelaki Cina yang kira-kira berumur pertengahan 50an berkata dalam bahasa pasar kepada dua orang berbangsa Melayu (mungkin pekerjanya). “Prophet Muhammad juga dulu serupa orang biasa. Sudah jadi menteri agama baru dia ada value. Dulu pun serupa kita juga”.

Saya begitu tersentak dengan kata-kata itu dan mahu saja tumpang sekaki untuk menyembang. Tetapi keadaan tidak mengizinkan saya.

Pada pengamatan penulis daripada ‘youtube’ berkenaan, memang 'pengucap' begitu menekankan bahawa Rasulullah tiada beza dengan orang lain sebelum baginda diangkat menjadi nabi.

Tersasar

Sebenarnya ucapan seperti itu satu cemuhan terhadap sejarah keperibadian nabi saw. Ia satu pandangan tersasar yang boleh melahirkan ‘world view’ (tasawwur) Islam yang negatif daripada objektif kerasulan. Persepsi itu langsung tidak memberi apa-apa kebaikan kepada orang yang mengucapkannya, malah ia boleh mencederakan tasawwur Islam pada anggapan masyarakat yang bukan Islam mahu pun masyarakat Islam sendiri.

Di dalam perjalanan sejarah Islam yang telah begitu lama lebih 1400 tahun yang lampau sehingga kini, memang terdapat suatu aliran orang-orang yang tersasar memberikan anggapan sedemikian. Mereka berpersepsi menyambut hari lahir nabi (maulidur rasul) tidak memiliki apa-apa nilai agama kerana kelahiran nabi adalah juga seperti kelahiran orang biasa. Aliran ini mengingatkan penulis satu hadith nabi yang mashur, (maksudnya), “Akan terpecah-pecah umat ku menjadi 73 golongan..”.

Aliran ini mensejajarkan umat Islam diseluruh dunia yang menyambut maulidur rasul sama dengan perbuatan bid’ah dan sia-sia. Persepsi semacam ini seolah-olah menggambarkan permusuhan mereka terhadap pembesar-pembesar agama dan kekasih-kekasih Tuhan, sedang Al-Quran telah memuji dan memuliakan nabi dengan firmannya, maksudnya, “..maka orang-orang yang beriman kepadanya (Nabi) dan memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (yakni Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Al-Araf 157)

Maksud daripada ayat-ayat suci Al Quran di atas mengenai “beriman kepadanya, memuliakannya dan mengikuti cahaya yang terang”, adalah sangat jelas tuntutan firman Allah swt itu tidak terbatas masa hayat nabi saw sahaja. Ayat Al-Quran berkenaan telah memberi definasi tuntutan beriman dan memuliakan nabi harus berlaku sejak dahulu, sekarang dan selamanya. Lantaran itu jika pengikut-pengikut agama Muhammad saw, memuliakan baginda dengan memperingatinya, menyebut-nyebut sejarahnya darihal kebaikannya, berpuisi dan membaca madah untuk mengagongkan baginda saw serta memperlakukan sesuatu untuk membesarkan pada hari ulang tahun kelahirannya, itu adalah substansi daripada tuntutan itu.

Adakah bijak menuding umat dengan menganggap melakukan bid’ah atau mendakwa umat melakukan kerja sis-sia jika umat Islam memperingati hari lahir baginda atau maulidur rasul. Umat memuliakan baginda bukan sekadar memperingati hari lahir baginda sebagai manusia agong, malah meninggikan nama baginda yang mulia, lebih besar daripada itu ialah mensyukuri sumbangan baginda saw yang tidak ternilaikan untuk umat manusia, jin dan seluruh alam ini sebagai manifestasi tauhid.

Jika mereka berpersepsi amalan sambutan maulidur rasul itu sia-sia atau suatu bentuk penyembahan (mensyirikan), mereka sebenarnya sudah jauh tersasar dan meleset. Firman Allah, maksudnya, “Dan telah kami tinggikan (sebutan) nama mu (bagi mu). (Surah Al-Insyirah 4).

Janganlah orang-orang Islam umat Muhammad menjadi seperti ‘satu kaum’ seperti yang tersebut dalam Al-Quran surah Al-Maidah 114, maksudnya, “Isa putra Mariam berdoa, “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya (‘ied) bagi kami, iaitu bagi orang-orang yang bersama kami, dan menjadi tanda bagi Engkau. Berilah kami rezeki, dan Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki”.

Menjelaskan ayat tersebut, apakah nilai Nabi (Al-Masih) itu lebih kecil ketimbang sebuah hidangan dari langit, sehingga hidangan itu dianggap tanda yang besar daripada Allah lalu mereka (kaum Nabi Isa as) menjadikan hari turunnya hidangan itu sebagai Hari Raya (‘eid) yang hanya mengenyangkan perut, namun hari turunnya Al-Quran (dan nabi saw itu adalah Al-Quran) yang menyempurnakan segala nabi dikesampingkan atau dipandang perkara kecil. Bukankah Nabi itu sendiri adalah hujjatullah dan tanda terbesar di antara tanda-tanda Allah yang lain. Apatah lagi menganggap orang-orang yang yang menampakkan kegembiraan dan kesyukuran tauhid pada hari maulidur rasul itu amalan bid’ah. Alangkah celakanya kaum-kaum seperti itu telah disinggung dalam Al-Quran.

Dalam mempersoalkan kebijakan 'pengucap' membuat ulasan-ulasan politik, beliau kerap kali terbabas dan tersasul sehingga tasawwur Islam yang mempunyai kekuatan dan kerohanian, tiba-tiba dilihat lesu dan terkulai. Akibatnya Islam yang dipamerkan kepada bangsa-bangsa di dunia adalah seperti tanah gersang yang kering dan sunyi dari perasaan dan naluri.

Apakah lagi kehebatan dan cahaya kerohanian yang ada pada batang tubuh Rasulullah saw jika pengikut baginda sendiri mengatakan baginda sama sahaja seperti orang lain darihal makan, minum, dilahirkan, berkahwin dan sebagainya. Untuk apakah menghibahkan hal berkenaan yang telah memang termaklum kepada semua orang. Sifat zahir dan keperluan tersebut adalah juga terdapat pada kambing dan haiwan-haiwan yang lain. Tidak perasankah, menzahirkan ceramah dan pandangan sebegitu kepada umum adalah menunjukkan kita tidak beradab dan tidak bersopan kepada nabi yang menjadi kekasih Allah.

Janganlah mereka berfikir daripada rasul itu hanya diambil agamanya sahaja semacam ‘hanya mengambil manisnya dan membuang gulanya’. Tidakkah mereka dapat menghayati dengan jiwa yang tenang, bahawa sebelum kelahiran Nabi saw sebagai rasul akhir zaman itu, tanda-tanda dan petunjuk mengenai kemuliaan baginda saw telah tersebut di dalam kitab-kitab agama samawi sebelum Al-Quran, sebagai persiapan yang Allah swt rahmatkan, bagi memberi kefahaman kepada manusia dan alam seluruhnya. Renunglah dengan mata hati.

Rasul Manusia Pilihan
Saya dengan ikhlas rasa terpanggil untuk menyatakan pandangan dan rasa cemas kepada umum, memandangkan Datuk Nik Abd Aziz adalah juga seorang pemimpin politik yang begitu kerap menyampaikan ucapan-ucapan kepada umum. Apatah lagi apabila mendengar lidah beliau terbabas dan tersasul dengan menyebut–nyebut nama Nabi Muhammad yang mulia dengan Mohammad-Muhammad atau Mat-mat seperti di kampung-kampung, tanpa rasa ingin beristighfar. Seolah-olah beliau lupa seluruh umat Islam mengetahui bahawa tiada orang lain yang bernama Muhammad atau Ahmad pada masa itu selain Rasulullah saw. Marilah kita sama-sama melihat kembali sejarah dan latar belakang sosok tubuh manusia agong itu.

1.
Sebelum diangkat menjadi nabi dan menerima wahyu yang pertama (seiring dengan Ilmu dan Iradah Allah swt), Rasulullah adalah manusia yang terpelihara (ismah) dan terpilih di antara seluruh manusia di muka bumi. Baginda adalah kepimpinan ummah ‘samada dalam keadaan berdiri atau duduk’. Seluruh hidupnya adalah suri contoh teladan buat manusia dan jin.

2. Baginda lahir dikalangan bangsawan Arab Quraish yang mendapat penghormat dari seluruh jazirah Arab. Baginda dilahirkan pada Tahun Gajah yang sangat dikenali didalam sejarah. Tahun itu adalah tahun pencerobohan tentera bergajah dari Yaman dibawah pimpinan Abrahah yang beragama Nasrani untuk menghancurkan Ka’bah (baitullah) atau ingin membawa Ka’bah ke Yaman dengan objektif memajukan Yaman sebagai pusat perniagaan. Sebelum melakukan penyerangan keatas Mekah, Abrahah telah mengadakan perundingan dengan pihak berkuasa Mekah ia itu Abdul Muthalib (datuk Rasulullah). Didalam pertemuan dengan Abrahah, Abdul Muthalib tidak menampakkan kegusarannya mengenai serangan tentera bergajah ini. Sebaliknya beliau hanya mahu ternakan-ternakan miliknya yang dirampas dikembalikan. Katanya, “Ka’bah itu rumah Allah. Biarlah Allah yang menjaganya”. Peristiwa tentera bergajah ini telah dipahatkan didalam Al-Quran (Surah Al-Fil ayat 1), maksudnya, “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan mu telah bertindak terhadap tentera bergajah”. Pada tahun inilah nabi Muhammad telah dilahirkan.

3. Ada satu versi mengisahkan tatkala Muhammad saw dilahirkan, penduduk langit (para malaikat) dilihat oleh Iblis berkeadaan sibuk turun kebumi berbondong-bondong. Lalu Iblis mencuba mencuri informasi kenapakah para malaikat berkeadaan demikian. Sehingga membawa Iblis sampai ke Mekah dan mengetahui tentang kelahiran seorang bayi bernama Muhammad yang bergelar nabi akhir zaman. Iblis bersegera melayang dari timur ke barat bekerja keras untuk menyesatkan manusia.

4. Muhammad saw adalah karamah wajhah, tidak pernah menyembah berhala sejak kecil tidak sebagai mana Omar Al-Khathab ra, Abu Bakar ra dan sahabat-sahabat yang lain. Muhammad saw juga tidak pernah berbohong dan sentiasa beliau berkata benar sejak kecil sehingga baginda mendapat julukan Al-Amin. Lihatlah keadilan baginda kepada semua puak Arab sebelum diangkat menjadi rasul dalam peristiwa mengangkat Hajarul Aswad.

5. Seorang pendeta agama nabi Ibrahim as (Waraqah bin Naufal) adalah juga bapa saudara Khadijah ra mengatakan, pada Muhammad itu ada tanda-tanda kenabian. Baginda tidak sama dengan orang lain.

6. Takkala dalam suatu perjalanan ditengah padang pasir, kafilah Muhammad terteduh oleh awan daripada sinaran terik matahari, seorang pendeta Nasrani mengatakan ada orang mulia atau luar biasa dalam kabilah itu.

7. Dalam satu versi mengisahkan, selepas dilihat ada petanda atau cahaya kenabian pada Abdullah bin Abdul Muthalib (bapa nabi), Yahudi ingin menangkap Abdullah dan mahu ‘menidurkannya’ kepada wanita Yahudi, tetapi pada keesokan harinya petanda itu telah tiada kerana telah ‘tertumpah’ pada Aminah. Yahudi mahu agar nabi akhir zaman tergolong dikalangan mereka.

8. Ada versi mengisahkan, takkala Muhammad saw dilahirkan, terpadamlah Api Persia (Majusi) yang tidak pernah padam selama lebih 900 ratus tahun. Juga diriwayatkan oleh Ya’qub ibn Sufyan dengan sanad hasan, “Ketika Nabi saw dilahirkan, istana Kisra, kaisar dari Persia (Farsi) berguncang dan empat belas balkonnya runtuh”.

9. Versi yang lain mengisahkan berlaku kejadian alam (fenomena). Berhala-hala disekitar Ka’bah roboh takkala Muhammad saw dilahirkan.

10. Satu versi yang sangat menarik ialah mengenai rahsia yang terdapat didalam kitab kuno (klasik) Yahudi yang diketahui oleh para pendeta Yahudi. Satu masa akan dilihat dilangit Arab sebuah komet berwarna hijau (fenomena astronomi) bernama komet Ahmad. Pada hari itu ialah petanda telah lahirnya seorang bayi lelaki yang akan bergelar nabi akhir zaman. Bayi mulia itu mempunyai tanda dibahunya alis bulu roma yang halus.

Diceritakan menjelang malam kelahiran Nabi saw, si Yahudi telah melihat komet hijau berkenaan dilangit. Beliau lalu menjerit memberitahu kawan-kawannya bahawa itu bukan komet biasa. Beliau meminta agar memeriksa seluruh jiran tetangga Arab siapakah telah melahirkan bayi lelaki. Selepas keesokannya, kelahiran yang dimaksudkan itu telah ditemui. Si Yahudi itu meminta izin kepada Aminah (ibu Nabi saw) untuk melihat sendiri bayi berkenaan. Sejurus memeriksa bayi tersebut si Yahudi itu rebah pengsan beberapa ketika. Apabila bangun kembali beliau berkata, “Sungguh bayi lelaki ini akan menjadi Nabi akhir untuk umat ini. Kenabian telah berpindah dari bangsa Yahudi kepada keturunan Ismail. Beruntunglah kalian wahai bangsa Arab”.

Darihal komet berwarna hijau itu, seluruh pengkaji astronomi dunia dikejutkan oleh satu berita bahawa komet hijau itu dilihat sekali lagi dilangit dunia oleh seorang mahasiswa Taiwan, Ye Quanzhi di Pusat Observasi Bintang Lulin pada 24 Februari 2009 bertepatan ulang tahun wafatnya Rasulullah saw (menurut versi ahlul bait, 28 Safar 1430 Hijriyah). Mereka menamakannya komet Lulin. Ada sarjana Islam menafsirkan kemunculan komid Ahmad atau komet Lulin itu pada tarikh 28 Safar 1430 Hijriyah memiliki rahsia atau petanda besar.

Daripada semua di atas, (dan kisah-kisah lain yang tidak tertulis) apakah Rasulullah saw sama kedudukannya (maqam) baginda dengan orang biasa di kampong Mekah pada ketika itu atau sehingga hari ini. Kenapakah berhasrat sangat ingin menempel pada sosok tubuh Rasulullah itu adalah hanya manusia biasa sahaja seperti kita dari segi makan minum sehingga penampilan nabi Islam itu dilihat sama seperti tokoh sejarawan yang lain.

Adalah sangat penting agama wahyu ini sebagai satu ajaran untuk menyelamatkan umat manusia dan jin serta rahmat bagi sekalian alam, mempunyai bersamanya kekuatan spiritual. Jika ditanggalkan ia akan menjadi umpama isme-isme ciptaan barat atau pun ciptaan timur yang gagal seperti liberalisma, sosialisma, komunisma dan lain-lain. Suatu hari umat agama samawi termasuk agama Islam, akan menganggap tuhan mereka sudah lesu dan mati, lalu mereka menjual gereja-gereja atau tempat-tempat ibadat mereka.

Telah lebih 1400 tahun Rasulullah saw meninggalkan kita. Keberadaan kita sebagai umat Islam akhir zaman pada hari ini yang menganut agama baginda, walau pun kita tidak pernah melihat wajah baginda dan tidak pernah kita mendengar suara baginda saw, tetapi kita beriman padanya. Lantaran kita menyedari kebenaran jalan hidup yang dibawanya, dan kita terpimpin oleh ajaran wahyu daripada baginda bagi kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat. Setelah semua itu, apakah tidak lahir di dalam jiwa kita rindu kasih dan cinta kepada sosok tubuh baginda apabila mengenangkan pengorbanan, perjuangan dan kesusahan yang ditanggung baginda, sebagaimana kita terkenangkan pengorbanan kedua ibu dan bapa kita. Bukankah orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta yang memperbanyakkan bersolawat kepada baginda sangat merindui untuk mendapat tempat tinggal di syurga bersama baginda di hari akhirat. Perasaan apakah yang terbenak didalam jiwa orang-orang yang ‘mendakwa dan mendakwi’, jika menampakkan kasih dan cinta kita kepada baginda sebagai manifestasi kesyukuran maulidur rasul itu dikatakan sia-sia. Apakah mereka tidak berpusing dan melihat pula ke dalam diri mereka itu, bahawa persepsi semacam itulah sebenarnya bid’ah dan sia-sia.

Akhir Kalam

Asas sebenar yang membina pandangan kesejahteraan Islam dalam diri manusia itu ialah falsafah. Dengan berfilsafat manusia terpandu untuk mengakui hakikat benar atau salah dalam pandangan dan tindakannya. Merenung dengan falsafah, manusia bisa saja tunduk menangis ketika mengkagumi kebesaran Allah Azzawajalla sehingga jiwa mereka putih bersih lalu melahirkan daya tahan untuk berjihad mencegah kemungkaran. Daripada semua itu dengan sendiri falsafah menjadi paksi ‘keadilan berfikir’ sehingga menjadikan manusia beradab sopan, dan bersedia untuk mengakui haq dan batil. Inilah kekuatan manusia untuk melakukan tamadun dan pembaikan termasuklah membina dan merapatkan perpaduan. Falsafah itulah yang dimiliki oleh manusia-manusia pilihan sebelum daripada mereka diangkat menjadi nabi dan rasul. Tokoh-tokoh Islam dan kepimpinan negara harus sama-sama membina ‘world view’ Islam seperti ini daripada bayangan falsafah.

Jika Allah swt dengan sifat ilmuNya yang maha mengetahui (sebelum dijadikan alam ini) bahawa, Muhammad saw itu adalah makhluk terbaik sekali diantara seluruh makhluk di alam raya ini, maka Allah swt dengan IradahNya yang seiring dengan IlmuNya memilih dan mengangkat Muhammad saw sebagai PesuruhNya. Lantaran itu apakah masih tersisa kelemahan atau kekurangan pada batang tubuh Nabi saw, atau masih terdapat kelemahan baginda sebagai suri teladan di sepanjang sejarah Rasulullah itu yang sebelumnya tidak diketahui oleh Sang Pencipta.

Hendaklah diketahui ketidakmampuan melahirkan tasawwur agama yang sejahtera dan terhormat, serta melupai nilai-nilai beradab sopan adalah dengan sendirinya menunjukkan persepsi itu tidak bijaksana dan tidak bertamadun. Renunglah dengan mata hati.